ASTRO OASIS
ASTRO OASIS
ASTRO OASIS
ASTRO OASIS
ASTRO OASIS
ASTRO OASIS
ASTRO OASIS
ASTRO OASIS
ASTRO CERIA
ASTRO PRIMA
ASTRO WARNA
ASTRO RIA
ASTRO ARENA
8 TV
NTV 7
ASTRO OASIS
ASTRO OASIS
ASTRO OASIS

Wednesday 28 December 2011


                                               SALMAN AL-FARISI
                         PERJALANAN MENUJU KEBENARAN


     Dari Kota Isfahan, (sakarang Iran), Salman sejak kecil telah dikurniakan kecerdasan luar biasa. Dia gemar mengkaji dan menyelidiki agama yang sedang dianutinya. Ketika remaja dia dilantik menjadi pengurus biara iaitu mengawasi ‘api suci’ agar sentiasa menyala.

     Semasa Salman sedang bersiar-siar melihat kebun keluarganya yang luas terbentang, dia lalu di hadapan sebuah gereja Nasrani. Dia amat tertarik cara orang beribadat di situ dan memberitahu hal tersebut kepada ayahnya.

     Ayahnya cemas, bimbang Salman menukar agamanya yang asal lalu mengurungnya di rumah, tetapi Salman berjaya meloloskan diri. Dia mengikuti satu kafilah ke Syria dan menganut agama Kristian pula. Di situ dia mempelajari agama tersebut dan tinggal bersama seorang paderi tua. Sebelum paderi itu menghembuskan nafas yang terakhir, Salman meminta petunjuk kepada siapakah  dia akan meneruskan pembelajarannya sepeninggalan paderi itu. Paderi itu menganjurkan Salman pergi berjumpa paderi di Mosul.

     Ketika di Mosul, paderi di sana juga sudah tua dan meninggal dunia. Kemudian beliau meneruskan usaha pengajiannya ke Amuriyah. Namun belum sempat menghabiskan pengajiannya, paderi itu juga meninggal dunia dan sempat memberi amanat yang berguna kepadanya.

     Kata paderi itu,” sekarang orang tidak lagi menjalankan agama yang sesuai mengikut ajaran Nabi Isa a.s. dahulu. Kini sudah lahir seorang Rasul terakhir. Baginda akan menyambung agama Nabi Ibrahim a.s. dan baginda berasal dari daerah tempat Nabi Ibrahim menerima wahyu. Tanda-tanda kerasulannya tidak mungkin hilang iatu suatu tanda kerasulan melekat antara kedua bahunya.

     “ Jika engkau menjamunya dia akan menerimanya dengan senang hati, dan jika engkau memberinya sedekah maka tidak diambil untuk dirinya barang sedikitpun tetapi, diserahkan kepada orang-orang yang lebih berhak. Seboleh-bolehnya dekatkanlah dirimu dengannya…”
Selepas itu paderi itu meninggal dunia, semangat Salman berkobar-kobar untuk menemui Rasul terakhir yang dimaksudkan oleh paderi itu. Oleh itu, dia menyertai satu kafilah yang menuju ke Madinah. Dia bekerja sebagai pelayan dalan kafilah itu. Bagaimanapun, ketua akfilah itu telah menjual Salman kepada seorang Yahudi di desa Alqura.

     Kemudian beliau dijual lagi kepada Yahudi lain yang tinggal di Kota Madinah. Kebetulan Madinah pada masa itu sedang melalui proses menjadi ibu kota Islam yang pertama.

     Semasa sedang melakukan tugasnya iaitu mengawasi dan menjaga kebun kurma tuannya, dia terdengar anak saudara majikannya berkata:” Pak cik! Alangkah anehnya kaum Aus dan Khazraj, saya lihat mereka mengerumuni seorang musafir yang mendakwa dirinya Rasul terakhir!”

     Ketika mendengar perbualan tersebut badan Salman gementar dan jauh di sudut hatinya terasa bahagia dan gembira – sesuatu yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Salaman memberanikan dirinya menemui majikannya untuk mengetahui keadaan sebenar tetapi majikannya dengan kasar mengherdik Salman agar tidak mengcampuri urusan mereka.

     Apabila kerjanya selesai, Salman pergi ke Quba tempat orang yang ingin ditemui sedang berkumpul dengan para Sahabatnya. Di sana Salman sempat menghulurkan buah tangan berupa kurma kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah menerima pemberian itu dengan senang hati dan diagihkan kepada para Sahabatnya. Mereka makan bersama-sama.

     Salman gembira hasratnya tercapai kerana berjaya menemui orang yang sangat dinanti dan dirindui selama ini. Dia berpuas hati setelah melihat tanda kerasulan yang terdapat pada Rasulullah dan tidak bercangah dengan apa yang diberitahu oleh paderi itu.

     Beberapa hari kemudian dia datang semula menemui Rasulullah dengan membawa sebungkus buah kurma.” Terimalah pemberian saya ini untuk tuan, dan ini bukanlah sedekah.” Rasulullah menerimanya dengan senang hati dan mengambil beberapa biji dan diserahkan kepada seluruh Sahabatnya yang hadir. Ini adalah satu tanda kerasulan Nabi Muhammad.

     Kemudian untuk kali yang ketiga Salman berjumpa lagi dengan Rasulullah. Kebetulan pada waktu itu salah seorang Sahabat Rasulullah meninggal dunia. Baginda dan para Sahabat sedang sibuk menguruskan jenazah. Salman menghampiri Rasulullah dan memberi salam kepadanya. Salman dengan sengaja berdiri di belakang Rasulullah. Tujuannya untuk melihat tanda kerasulan pada bahu baginda. Rasulullah tahu tujuan Salman dan dengan sengaja baginda membongkokkan sedikit sehingga pakaiannya terbuka lalu memperlihatkan tanda kerasulannya.

     Oleh kerana terlampau gembira tanpa disedari Salman mencium tanda itu sambil air matanya berlinangan. Tanpa disuruh-suruh Salman menceritakan kepada Rasulullah segala pengalaman dalam usahanya mencari kebenaran. Dia benar-benar berasa kebenaran terhadap agamanya yang dianuti sekarang. Para sahabat yang hadir turut berasa terharu mendengar cerita Salman.

Tuesday 27 December 2011

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH


PENGENALAN


Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata: “Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”

Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.

Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.

Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.

ZAMAN KECIL

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.

Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.

Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.

Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.

bersambung...
ZAMAN REMAJA

Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.


ZAMAN DEWASA

Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.

Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.

Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah:

“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”

Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.

MEMBUKA KONSTANTINOPLE

Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.

Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.

Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam jatuh.

Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.

Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.

Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa.

Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.

Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”

Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!

Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad menukar nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa maksud “Islam Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium.

Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.

bersambung...
JUMAAT BERSEJARAH

Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”

Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fadhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”

Sebahagian daripada tenteranya duduk.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”

Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya peribadi seorang pemimpin sebegini! Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?


AKHIR HAYAT

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun.

Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Allahu a’lam.

          TUNTUTAN HARGA DARIPADA 360 SENDI MANUSIA

        “Nikmat  yang paling besar ialah apabila manusia dikurniakan Islam dan iman”

DARIPADA  Aisyah R.A katanya, Rasulullah telah bersabda yang bermaksud :

   “Dijadikan manusia ini di atas 360 sendi, oleh yang demikian mana-mana orang yang bertakbir kepada Allah, bertasbih kepada Allah, berzikir kepada Allah, minta ampun daripada Allah dan membuang ranting atau duri-duri di jalanan, mereka menyeru yang makruf dan juga melarang yang mungkar, bererti orang itu berusaha untuk dirinya menjauh dari api neraka.” (H.R Muslim)

Demikian sabda Rasulullah S.A.W yang menyatakan tentang kejadian manusia yang mengandungi 360 sendi, di mana setiap sendi itu Allah mengkehendaki dikenakan cukai. Sedekah dan zikir kepada Allah adalah cukai sendi itu.

     Jika tidak dengan sedekah maka Allah menghendaki kita bertakbir kepada Allah, bertahmid, beristighfar dan bertasbih. Dengan demikian harga sendi yang Allah ciptakan itu tidak semestinya dibayar dengan wang ringgit yang disedekahkan, tetapi juga dengan sentiasa mengingati Allah.

     Dengan menyebut nama Allah itu bererti mengekalkan ingatan makhluk terhadap Khaliq-Nya, sebagai tanda syukur kerana dengan sendi yang berjumlah 360 ruas itu membolehkan manusia bergerak dengan sempurna, melangkah dengan teratur, menghayun tangan bagi mengimbangi langkah, menoleh ke kanan dan ke kiri, menggerakkan jari bagi melakukan sebarang pekerjaan ringan dan berat, malah seribu satu macam pergerakan yang kesemuanya merupakan nikmat yang tidak terhingga.

     Bayangkan jika manusia diciptakan tanpa sendi, sudah pasti sukar melakukan pergerakan, segala yang hendak dibuat sentiasa terbatas. Tanpa sendi manusia persis pohon kayu atau benda-benda kaku yang tidak lagi dikatakan sebagai sebaik-baik kejadian.

     Harga yang Allah kehendakiitu adalah mampu dibayar atau dilaksanakan oleh manusia, bersedekah sama ada yang wajib (zakat) atau sedekah sunat adalah mampu dilakukan, kerana rezeki yang Allah kurniakan kepada manusia adalah memudahkan kerja-kerja sedekah itu.

     Bagaimanapun harga kepada setiap sendi itu masih lagi yang lebih mudah, iaitu mengingati Allah dengan takbir, tahmid, istighfar, dan juga tasbih. Mengingati Allah itu boleh dilakukan di mana saja dan setiap ketika, ia dilakukan tanpa mengganggu pekerjaan seseorang, sama ada sebagai petani, nelayan, saudagar, pentadbir dan seumpamanya.

     Mengingati Allah bukan semata-mata di bibir, tetapi zikir atau mengingati Allah yang sebenarnya ialah di dasar hati, pastilah bahawa kerja hati itu tidak siapa pun yang boleh menghalang. Dan yang paling penting dengan pengertian zikir atau mengingat Allah S.W.T ialah segala perlakuan hidup ini kesemuanya dalam lunas ketaatan, dikawal dengan syariat. Sesungguhnya segala maksiat dan sifar ingkar itu terjadi apabila manusia lupa kepada Allah S.W.T.

     Selain itu apabila seseorang itu sentiasa bertakbir membesarkan Allah, maka akhirnya manusia akan sentiasa menyedari kekerdilan diri, merasa diri daif dan tidak berdaya upaya, melainkan dengan pertolongan Allah yang telah melengkapkan penciptaan-Nyadengan 360 sendi dan lain-lain anggota yang berharga.

     Ketika manusia memuji Allah maka sedarlah dia bahawa sebanyak mana budi yang pernah diterima daripada manusia, maka budi Allah dengan berbagai-bagai nikmat yang dikurniakan tiada bandingan. Dan nikmat yang paling besar ialah apabila manusia dikurniakan Islam dan iman, dikirimkan para rasuluntuk membimbing dan mentarbiah manusia, yang membimbing manusia ke jalan yang selamat menuju akhirat.

(Petikan daripada buku bertajuk TAKWA karangan TUAN GURU NIK ABD AZIZ NIK MAT)