Sunday, 19 February 2012

TAHAJJUD..menyembah Sang Pencipta




Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, di sisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah SWT jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah SWT dan ada waktu malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah SWT. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.


Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya. Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah SWT. Berkata Fudhail bin Al-Iyadh: Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!” Abu Sulaiman pula berkata: “Jikalau tidaklah kerana malam, nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini.

Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya merupakan sebaik-baik waktu untuk beribadat, kerana itu para mukmin digalakkan mengambil kesempatan-kesempatan keemasan itu untuk mengukuhkan hubungan dan kecintaannya kepada ALLAH. Alangkah qudusnya iman seseorang apabila di saat manusia yang lain sedang tidur nyenyak ia bangkit mendirikan sembahyang dan membangunkan isterinya sembahyang bersama-sama untuk mempersembahkan pujian, harapan, permohonan dan permintaan ampun kepada ALLAH ketika dunia diselubungi sepi dan gelita. Alangkah indahnya pandangan dua manusia suami isteri sama berdiri lurus menghadap qiblat dan sama meletakkan dahi mereka ke lantai di tengah-tengah kekelaman malam untuk membuktikan ' ubudiah mereka yang tulus kepada ALLAH, memohon keberkatan hidup dunia dan kebahagiaan hidup di negeri Akhirat.


Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepda hamba-hambaNya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya. Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.” Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur.


Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah SWT memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggalkan keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wuduk dan berdiri serta sujud kepada Allah SWT. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah SWT menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hambaNya yang menghidupkan malam.


Meskipun itu adalah janji dari Allah SWT kepada kita, namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia dari melakukannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah SWT, nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk, nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat, nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian, nescaya menjadi keji jiwa dan malas.


Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah SWT. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa.


Dipetik dari Panduan Solat Tahajjud, oleh Muhammad Uzair Al Aziz.
.

No comments:

Post a Comment